Page Navibar

Saturday, August 13, 2011

Respdemop hulur bantuan kepada ahli yang kemalangan

Kelab Rekreasi Respdemop (Respdemop), sebuah kelab yang dianggotai ahli-ahli Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) di kawasan Parlimen Mambong telah menghulurkan bantuan wang tunai dan bekalan makanan kepada dua ahlinya yang ditimpa kemalangan.

Kapten Zainuddin (dua dari kiri) bersama-sama ahli Respdemop
ketika hulurkan bantuan kepada Bajeng (tiga dari kiri).  
Dua ahli terbabit ialah Banyeng Anak Siwa, 45, dari Kampung Simpok, Padawan dan Hansel Anak Meran, 21, dari Kampung Garung, Jalan Puncak Borneo.

Banyeng terjatuh dari ketinggian 20 kaki semasa melakukan kerja menukar atap sebuah rumah menyebabkan dia cedera di pinggang dan patah tangan kanannya.

Beliau dijadual menjalani pembedahan tapi buat masa ini sedang menjalani rawatan tradisional sementara Hansel yang cedera di matanya akibat terbabit dalam kemalangan jalan raya di Kuala Lumpur semasa dalam perjalanan ke kolejnya telah pun selamat menjalani pembedahan matanya minggu lalu.

Presiden Respdemop Kapten Zainuddin Tan Sri Hamdan Sirat berkata,wang berkenaan adalah sebahagian daripada dana yang berjaya dikumpul pada majlis makan malam anjuran kelab itu pada 30 Julai bagi membiayai sebahagian daripada kos rawatan mereka.

Respdemop yang berdaftar dengan Suruhanjaya Sukan Malaysia, kini mempunyai kira-kira 3,000 ahli di kawasan Parlimen Mambong, yang sebahagian besarnya adalah golongan belia dan remaja sejajar dengan matlamat SPDP mengambil lebih ramai golongan itu sebagai ahlinya.

Zainuddin berkata, Respdemop komited untuk bukan sahaja membantu ahli-ahlinya yang ditimpa kesusahan tapi turut membantu individu-individu yang memerlukan termasuk warga tua yang kesakitan seperti memerlukan kerusi roda untuk bergerak.

Sebelum ini Respdemop telah membiayai kos pembinaan sebuah rumah baru untuk keluarga seorang ibu tunggal Rosnah Sija dari kampung Garung, bantuan makanan dan pakaian kepada mangsa kebakaran di Rumah Likik, Pakan, bantuan kerusi roda kepada warga tua yang cacat di Kampung Peros, Bau, keluarga mangsa kebakaran di Kampung Punau dan bantuan kepada beberapa ahli SPDP yang memerukan.

“Kita berharap untuk mengumpul dana yang mencukupi untuk disalurkan kepada pihak dan individu yang dalam kesusahan,” kata Kapten Zainuddin yang juga penyelaras SPDP Bahagian Mambong.

Selain melakukan kerja kebajikan, Respdemop turut menganjurkan aktiviti sukan dan rekreasi untuk merapatkan hubungan dan kerjasama sesama ahlinya dan anggota keluarga mereka.

Pada awal tahun ini kelab itu menganjurkan Hari keluarga Respdemop di Kampung Jambu, Padawan dan di Kampung Peros, Krokong, Bau.