Page Navibar

Saturday, November 27, 2010

SPDP akan beli enjin pengisar padi untuk Kampung Assum

PADAWAN: Nasib penduduk Kampung Assum yang ketinggalan daripada tiga kemudahan asas mendapat perhatian SPDP Mambong, yang berjanji akan mengumpul dana untuk membeli sebuah enjin pengisar padi untuk mereka.

Pegawai Perhubungan SPDP bagi Bahagian Kuching, Kapten Zainuddin Tan Sri Hamdan Sirat berkata, jika tiada hala melintang, enjin pengisar padi itu akan diserahkan awal tahun depan.

“Enjin pengisar padi kemudahan yang amat diperlukan penduduk Kampung Assum dan kami akan pastikan mereka mendapatkannya supaya perayaan Gawai Dayak pada 1 Jun tahun depan lebih bermakna untuk mereka,” kata Kapten Zainuddin.

Enjin pengisar padi yang lama rosak akibat dihanyut arus deras ketika banjir melanda kampung berkenaan pada tahun 2003.

Turut dihanyut dalam kejadian banjir itu ialah janakuasa elektrik milik kampung itu.
Kedua-dua enjin berkenaan adalah sumbangan bekas Ahli Parlimen kawasan Padawan mendiang Tan Sri Stephen Yong.
Sejak 2003 Kampung Assum, kira-kira 70 kilometer dari pusat Bandaraya Kuching kegelapan tanpa kemudahan bekalan elektrik sementara penduduknya terpaksa mengisarkan padi secara tradisional menggunakan lesung.

Baru-baru ini Kapten Zainuddin bersama-sama sekumpulan ahli SPDP Mambong berkunjung ke kampung berkenaan dan setelah mendengar rintihan mereka, Kapten Zainuddin memberitahu bahawa SPDP Mambong akan mengumpul dana untuk membeli sebuah enjin pengisar padi yang baru untuk mereka.

Mengenai kemudahan lain, Kapten Zainuddin berharap kerajaan melihat keperluan penduduk kampung itu.
Kampung Assum, iaitu sebuah perkampung kaum Bidayuh yang masih belum mendapat kemudahan asas bekalan elektrik dan air paip.

Jalan raya ke kampung itu dibina tahun lepas tetapi hanya bolah dilalui motosikal disbeabkan permukaan masih belum ditabur batu dan diturap.

Sementara itu, pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Assum, Spady Nyamat, 45, meminta supaya kerajaan mempercepatkan projek kemudahan asas seperti jalan raya berturap, bekalan elektrik dan air ke kampungnya.
Selain itu, kampung itu juga memerlukan sebuah balai raya yang lebih besar memandangkan yang sedia ada terlalu kecil dan sempit.

“Kami telah menunggu sekian lama untuk ketiga-tiga kemudahan asas itu dan adalah diharap kerajaan akan mempercepatkan penyambungan bekalan elektrik ke kampung kami, selain menurapkan jalan raya yang baru dibina serta menyediakan bekalan air yang bersih untuk kami” kata Spady.

Untuk pergi ke Kampung Assum, perlu berjalan kaki selama kira-kira satu setengah jam dari Kampung Kembug, sebuah perkampungan berdekatan yang sudah dihubungkan dengan jalan raya berturap terus ke Bandaraya Kuching.