Page Navibar

Monday, February 7, 2011

Hari Keluarga SPDP Mambong pada 12 Februari

Ahli-ahli Wanita SPDP Bengoh dan Tarat bergambar bersama-sama
Kapten Zainudding  (bertopi dan kaca mata hitam).

SAYAP Wanita Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) cawangan Bengoh dan Tarat bergabung tenaga untuk menganjurkan Hari Keluarga SPDP di dua kawasan pilihan raya Dewan Undangan Negeri (DUN) itu pada 12 Februari 2011.
Acara yang dijadualkan bermula jam 9 pagi di padang bola sepak Kampung Jambu, Padawan itu dijangka meriah dengan pelbagai atur cara disediakan untuk ahli dan anggota keluarga mereka yang hadir nanti.
Mesyuarat untuk membincangkan persiapan terakhir acara itu telah diadakan di Kampung Jambu kelmarin dan dipengerusikan oleh pengerusi SPDP Bahagian Mambong, Kapten Zainuddin Tan Sri Hamdan Sirat serta turut dihadiri oleh ahli exco Pemuda SPDP negeri Khairuddin Abdul Kadir.
Menurut Kapten Zainuddin, Hari Keluarga itu akan turut diselitkan dengan demonstrasi membuat kek serta acara-acara sukan untuk kaum bapa, ibu, remaja dan kanak-kanak.
Katanya, pada sebelah petang akan diadakan perlawanan bola sepak persahabatan antara SPDP Kampung Emperoh Jambu menentang pasukan pilihan SPDP Bengoh dan Tarat.
“Manakala sebelah malam akan diadakan majlis makan malam di Balai Raya Kampung Emperoh Jambu dan ahli Ketua Puteri SPDP, Kaunselor Babara Mawan telah dijemput untuk merasmikan majlis berkenaan, yang akan turut dihadiri oleh ahli-ahli exco Wanita SPDP yang lain,” katanya.
Beliau berkata, kira-kira 300 jemputan termasuk wakil-wakil tiga parti komponen BN yang lain, iaitu dari Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dan Parti Rakyat Sarawak (PRS) dari Tarat dan Bengoh akan menghadiri majlis makan malam tersebut.
Katanya, majlis makan malam itu akan turut dimeriahkan dengan persembahan nyanyian dua penyanyi rakaman Bidayuh, iaitu Ana Katie yang popular dengan lagu ‘Subi Bireh’ dan Paul Kadun dengan lagu “Siramat Ondu Sindo”.
Zainuddin berkata, Hari Keluarga dan majlis makan malam itu merupakan sebahagian daripada aktiviti yang akan dianjurkan SPDP di kawasan Parlimen Mambong sepanjang tahun ini.
“Lebih banyak lagi aktiviti berbentuk perpaduan akan diadakan bagi menyokong usaha BN di kawasan Parlimen Mambong yang meliputi kawasan Dewan Undangan Negeri Bengoh dan Tarat,” katanya.
Sehubungan itu, beliau yang juga Pegawai Perhubungan SPDP Bahagian Kuching berharap parti-parti komponen BN yang lain tidak mempunyai tanggapan salah terhadap usaha SPDP di kawasan berkenaan.
Beliau berkata, usahawa bersungguh-sungguh juga sedang dilakukan oleh SPDP Mambong untuk mendafarkan lebih ramai belia di kawasan Parlimen Mambong sebagai ahli parti itu.
Sementara itu, majlis itu mendapat sokongan penuh ketua Kampung Emperoh Jambu, Denial Jitom serta penduduk kampung berkenaan.
Denial dalam ucapannya pada mesyuarat kelmarin berkata beliau serta penduduk Kampung Emperoh Jambu amat mengalu-alukan SPDP ke kampung berkenaan.
“Memandangkan SPDP salah sebuah daripada parti komponen BN, jadi tiada salahnya kita bekerjasama.
“Lagi pun saya nampak SPDP mempunyai keikhlasan untuk bekerjasama dengan masyarakat di peringkat akar umbi dan kami amat menghargai sumbangan SPDP kepada rakyat,” kata Denial.